Jumat, 14 Juni 2013

tempat wisata

Thursday, September 27, 2012

Medan (Part 3) : Berastagi - Parapat - Pulau Samosir

10 comments:
Hari Ketiga, Sabtu, 15/9/2012

Setelah bersiap dan mengemas beg, kami check-out dari hotel. Setelah itu kami menikmati sarapan ala bufet di restoran hotel lebih kurang jam 7. Pagi ini barulah terasa riuh dengan tetamu yang lain kerana ada beberapa event yang akan berlangsung di hotel ini.

Menurut Pak Syamsul hari ini kami perlu bergerak awal untuk mengejar jadual feri di Parapat pada pukul 2.30 ptg. Kalau terlepas feri ini perlu menunggu 3 jam lagi untuk ke Pulau Samosir. Sebelum jam 2.30 ptg ada satu lagi perjalanan feri jam 11.30 pagi tetapi mungkin kami tidak sempat menaiki feri pada jam ini.

Perjalanan dari Berastagi ke Parapat memakan masa lebih kurang 3 jam. Dalam perjalanan kami singgah untuk melihat air terjun Sipiso-Piso di kawasan bernama Tongging. Seperti biasa pasti ada orang yang menjaga pintu masuk ke kawasan ini untuk mengutip wang. Hanya pemandangan air terjun yang berketinggian lebih 100m sahaja yang dapat dinikmati di sini.Untuk melihat air terjun dengan lebih dekat, pengunjung boleh menuruni tebing yang telah dibina laluan untuk turun ke bawah. Untuk turun tidak menjadi masalah, tetapi untuk naik pula tercungap-cungap juga nafas. Patutlah ada kedai menjual air dibawah tebing ini. Dari sini juga boleh terlihat pemandangan Danau Toba. Masih awal pagi, pemandangan danau dilitupi dengan kabus yang tebal.

Kat sebelah kanan tu laluan menuruni tebing....

Danau Toba dari jauh

Perjalanan diteruskan lagi melewati kawasan-kawasan kampung. Penduduk Islam dan Kristian duduk dalam satu kawasan yang sama. Hampir setiap kilometer pasti ternampak gereja mahupun masjid...tetapi rasanya jumlah gereja lebih banyak. Kebanyakkan mereka adalah petani. Bumi Medan memang cukup subur, sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan pelbagai tanaman.

Satu jam perjalanan dari air terjun Sipiso-piso kami singgah pula di Rumah Bolon yang merupakan rumah adat Raja Simalungun pada zaman dahulu. Kini rumah ini hanya tinggal untuk tatapan umum. Untuk mengejar masa, kami tidak turun dari kereta sebaliknya Pak Syamsul membawa kami pusing dengan kereta. Kebetulan hujan pula turun rintik-rintik.

Rumah Bolon

Tidak jauh dari Rumah Bolon, Pak Syamsul berhenti pula di kawasan Simarjarunjung. Terdapat satu restoran di sini yang mengadap pemandangan Danau Toba tapi agak jauh. Sekadar menghirup udara segar dan melepaskan hajat di tandas restoran ini, kami meneruskan lagi perjalanan. Ketika ini jalan menuju ke Parapat adalah melalui lereng-lereng bukit dan di kanan kami adalah Danau Toba. Kata Pak Syamsul 1 jam lagi sampailah kami di Parapat.

Simarjarunjung
Di pertengahan jalan tiba-tiba Pak Syamsul memperlahankan kereta, aku yang tengah mamai kerana terlelap terkejut. Ingatkan ada apa-apa berlaku rupanya Pak Syamsul ingin menunjukkan kami sebuah rumah berbentuk ikan di tengah-tengah semak di tepi jalan terbabit. Rumah ikan ini masih mempunyai penghuni. Beberapa kereta pelancong lain turut berhenti untuk merakamkan gambar.

Unik kan?!
Jam 1 tengahari barulah kami tiba di pekan Parapat. Kami singgah di restoran Istana Minang 2 untuk makan tengahari. Restoran ini sering menjadi tumpuan pelancong untuk makan tengahari. Ketika kami sedang makan pun datanglah satu bas penuh dengan warga Malaysia. Restoran yang mulanya lengang kini penuh dengan pelancong Malaysia.


Selesai makan, Pak Syamsul ke masjid berdekatan sementara kami ke Indomaret untuk membeli air minuman dan sedikit makanan ringan.

Kami tiba di jeti feri agak awal dan kereta pun masih belum banyak yang menunggu. Penting untuk sampai awal kerana tepat jam 2.30 feri akan bergerak manakala tiket adalah terhad kepada muatan feri sahaja. Jika feri telah penuh, kenderaan yang ingin dibawa perlu menunggu 3 jam kemudian. Hanya ada 5 waktu perjalanan feri pengangkut dari Parapat bermula jam 8.30 pagi sehingga yang terakhir jam 8.30 mlm.


Untuk menaiki feri umum yang membawa penumpang sahaja perlu ke jeti lain. Feri umum ini lebih banyak daripada feri pengangkut yang hanya ada satu sahaja yang beroperasi di Parapat ini.


Kereta kami antara yang terawal dapat masuk ke dalam feri dan diparkir di sebelah kiri feri. Kenderaan disusun agak rapat bagi memenuhkan ruang. Semua jenis kenderaan yang ingin ke Pulau Samosir harus menaiki feri ini termasuklah bas dan lori. Danau Toba yang tadi asyik terlihat dari jauh kini sudah terbentang di depan mata.